Hari
terakhir program pula merupakan hari yang mebuatkan perasaan saya bercampur
baur. Gembira dan lega kerana program ini akhirnya akan berakhir, namu sedih
dan sebak kerana perlu meninggalkan anak-anak NURI ini.
Sewaktu anak-anak NURI sedang
belajar Bahasa Inggeris Bersama Sin Hui, saya membantu untuk membuat persiapan
majlis penutup di bawah khemah. Saya membantu mereka untuk membuat origami kata
dan rama-rama yang akan digantung di sekeling khemah. Hubungan saya dengan
rakan-rakan yang lain menjadi lebih rapat sepanjang program ini dan saya berasa
selesa untuk bergaul dengan mereka terutamanya dengan rakan-rakan Cina yang
lain kerana kami tidak banyak berinteraksi sebelum program.
Pada
waktu tengahari pula, saya dan beberapa orang lagi mengikut Dr. Arpah untuk
membelikan barang-barang yang akan disumbangkan kepada rumah NURI. Inii
merupakan kali pertama saya keluar membeli barangan rumah Bersama orang lain
selain dari keluarga saya. Selalunya saya hanya membantu ibu saya untuk menolak
troli, tetapi hari itu saya ditugaskan untuk mencari barangan yang telah
disenaraikan dan memastikannya mengikut bajet yang telah ditetapkan. Pada
mulanya saya agak risau bahawa barang yang dibeli adalah melebihi bajet namun
nasib menyebelahi kami, jumlah barang-barang tersebut masih lagi dalam kawalan.
Kami juga turut membeli kek untuk
rakan-rakan serta anak-anak NURI yang lahir pada bulan Februari, Mac dan April.
Kami bercadang untuk membuat kejutan untuk mereka semasa majlis penutuk kelak.
Tiba sahaja di rumah NURI, saya berasa agak terkejut kerana hanya 8 orang
sahaja anak-anak NURI yang ada di situ dan yang selebihnya masih tidak lagi
pulang dari pertandingan dikir barat. Saya berasa risau kerana persembahan
untuk majlis penutup terpaksa dibatalkan kerana bimbang tidak mempunyai
bilangan ahli yang cukup untuk persembahan setiap kumpulan
Selaku
PIC untuk latihan persembahan dan persediaan majlis penutup , saya meminta
fasilitator tetap untuk menggabungkan kumpulan mereka dan membuat satu
persembahan bersama sewaktu majlis penutup nanti. Lalu, saya mula melakukan
persiapan untuk menyediakan ruang makan
VIP dan meminta beberapa ahli yang lain untuk membantu saya. Suasana menjadi
lebih merisaukan apabila langit kelihatan seperti mahu hujan.
Ketibaan
wakil UM yang lebih awal menjadikan suasana lebih panik. Saya berasa agak cemas
sewaktu mengiringi PM Dr. Sarinder, namun beliau cuba untuk meringankan suasana
yang agak tegang itu dengan meminta saya melayannya dengan biasa sahaja dan
tidak perlu begitu formal. Disebabkan keadaan yang hujan lebat pada hari itu,
maka saya dan Rehana membuat keputusan untuk memindahkan tempat majlis ke dalam
rumah sahaja. Justeru itu, ‘backup plan’ amat penting dalam setiap benda dan
perlu ada untuk program-program sebegini. Disebabkan kesibukan melayan VIP
serta kerisauan untuk majlis tersebut membuatkan saya tidak berselera untuk
makan.
Mujur
segalanya berjalan dengan lancar. Sewaktu ucapan PM Dr. Sarinder, saya berasa
sebak kerana program ini akan berakhir dan saya pasti akan merindui semua ini.
Tiba sudah upacara kumcak iaitu kejutan hari jadi untuk mereka. Saya dan
beberapa orang lain menyediakan kek di dalam rumah sementara Erni cuba untuk
mengambil perhatian mereka. Riak wajah terkejut mereka amat tidak boleh
dilupakan sewaktu lagu hari jadi dinyanyikan. Mereka berasa amat teruja dan
seronok kerana hari jadi mereka diraikan. Suasana menjadi lebih meriah apabila
anak-anak NURI yang lain pulang dari pertandingan dikir barat. Namun begitu,
melihat muka kecewa mereka kerana tidak sempat pulang untuk majlis penutup
membuatkan saya berasa ingin memutarkan kembali masa untuk mereka.
Saya
bersama Fahmida, Chiaw Qing, Arinah dan Lee telah bersusah-payah untuk membasuh
pinggan mangkuk di dalam hujan yang lebat selapas majlis penutup itu. Habis
lencun baju kami, namun kami tidak kisah malah masih mampu untuk ketawa di
bawah hujan yang lebat itu. Nasib baik saya mempunyai stok Panadol yang
tersimpan di beg dan kami berkongsi ramai-ramai Panadol tersebut.
Waktu untuk pulang adalah waktu yang
paling sukar dilakukan. Sebaik sahaja saya melihat salah seorang dari anak-anak
NURI menitiskan air mata, saya pun turut menangis bersama mereka. Saya berasa
amat bersalah kerana merasakan menjadi punca mereka menangis sebegitu. Saya
sedar bahawa ada yang diantara mereka adalah anak-anak yatim dan ada juga yang
ditinggalkan leh ibu bapa sendiri. Jadi, meninggalkan mereka sebegitu adalah
seperti mengulang semula sejarah hitam dalam hidup mereka dan membuatkan saya
lebih sedih. Namun begitu, hidup perlu diteruskan. Setiap pertemuan pasti ada
perpisahan. Saya hanya mampu berdoa agar anak-anak NURI ini akan membesar
menjadi orang yang berguna dan akan kuat menghadapi segala cabaran. Amin.
-Putri Nur Fatin-
No comments:
Post a Comment